|
|
||||
Jenama Brunei Halal dilindungi undang-undang
August 24, 2007 - 3:57pm — ramlie.ladis
BERAKAS, Sabtu, 18 Ogos. - Pendekatan Jenama Brunei Halal adalah unik di mana pihak berautoriti yang mengesahkan kehalalan sesuatu produk dilindungi dan dikuatkuasakan melalui undang-undang. Dengan kata lain, piawaian dasar dan peraturan yang dilaksanakan melalui Jenama Brunei Halal diperkenalkan melalui undang-undang di mana produk-produk yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang Brunei tidak dikategorikan halal. Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan ucaptama di Seminar Antarabangsa Produk Halal 2007 berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa. Yang Berhormat seterusnya berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Brunei dan Kementerian Kesihatan merupakan perintis dalam usaha menggunakan undang-undang halal Brunei yang sedia ada sebagai dasar berwibawa untuk jenama komersial. Yang Berhormat menambah, Jenama Brunei Halal lahir dari identiti Islam negara ini, sebagai bangsa Islam yang komited terhadap Al-Qur’an yang unggul, di samping terus progresif dan menyedarkan masyarakat. Undang-undang dan peraturan untuk mendapatkan pengiktirafan halal terhadap daging jelas Yang Berhormat, telah lama diperkenalkan dan Jenama Brunei Halal telah diperjelaskan dan konsepnya juga dikembangkan. Menurut Yang Berhormat, Jenama Brunei Halal keseluruhannya benar-benar merupakan usaha komersial, ianya masih terikat kepada beberapa prosedur dan peraturan kerajaan. Untuk bersaing di arena antarabangsa, pihak-pihak berkuasa kerajaan yang relevan mestilah memperjelaskan semua polisi dan peraturan kepada agensi-agensi berkenaan serta menghindarkan kerenah proses-proses birokrasi yang tidak diperlukan melalui pengisytiharan yang jelas dari pihak berkuasa. Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, walaupun kehalalan merupakan langkah asas untuk orang Islam ketika membeli barangan pilihan tetapi mereka juga tidak mengenepikan kepada keperluan produk berkualiti. "Kesihatan dan keselamatan adalah perkara yang sangat diambil kira oleh para pelanggan," tegas Yang Berhormat. Dalam hal ini menurut Yang Berhormat lagi, produk halal yang asli sangat mudah memenuhi permintaan tersebut ditambah lagi dengan nilai jenama halal. Selain itu Yang Berhormat juga menjelaskan jaminan kehalalan sesuatu makanan menjadi satu strategi pemasaran yang diperakui dan diguna pakai pada masa ini. Oleh itu penyalahgunaan label 'halal' semakin berleluasa dengan tulisan Arab malah pernah dijumpai di mana-mana produk terkemuka seperti sate babi. Adalah jelas usaha individu yang tidak bersistematik tidak akan mencukupi untuk memenuhi pemakanan orang-orang Islam dalam angka yang besar yang hanya boleh dilaksanakan oleh individu yang bertanggungjawab. Jika industri makanan halal boleh menembusi potensi yang maksima, jelas Yang Berhormat, isu dalam memastikan kehalalan perlu dibuat oleh pakar Islam yang sah supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. Seminar tersebut dihadiri lebih 300 orang peserta terdiri dari pengeluar produk-produk makanan tempatan dan antarabangsa, agensi pengangkutan dan logistik, pengilang dan para penjual tempatan serta antarabangsa. - Pelita Brunei, Rabu 22 Ogos 2007/1428 |
|||||