|
|
||||
Kursus Pengauditan Halal
November 15, 2007 - 3:15pm —
Usaha yang berterusan sedang diambil untuk memantapkan kredibiliti pensijilan halal di Negara Brunei Darussalam. Kursus Pengauditan Halal yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama diadakan selama empat hari bermula dari 12 to 15 November 2007, di Bilik Permai, Ibu Pejabat Jabatan Pertanian, Lapangan Terbang Lama, Berakas, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai kerajaan yang akan dilantik sebagai juruaudit halal yang akan melaksanakan pengauditan bagi pensijilan halal di Negara Brunei Darussalam, bersesuaian dengan piawaian antarabangsa ISO 19011. Kursus Pengauditan Halal ini disampaikan dalam bahasa Inggeris oleh seorang konsultan daripada Bureau Veritas International, iaitu syarikat perunding antarabangsa yang berasal dari Negara Peranchis. Syarikat ini mempunyai cawangan di Negara Brunei Darussalam dan memberikan perkhidmatan perunding, pemeriksaan dan pensijilan yang berkaitan dengan kualiti, kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan halal. Kursus ini dihadiri oleh Seramai 25 orang pegawai-pegawai daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Majlis Ugama Islam, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Awam, Jabatan Perikanan dan Pusat Akreditasi dan Piawaian Kebangsaan. Objektif kursus diadakan ialah:
Dengan adanya kursus ini, peserta-peserta kursus sebagai juruaudit-juruaudit yang berdaftar dan terlatih, akan dapat menjalankan pengauditan dan pemeriksaan pematuhan ke atas Piawaian Negara Brunei Darussalam bagi Makanan Halal PBD 24:2007; Garispanduan Pensijilan bagi Sijil Halal dan Label Halal; Akta dan Peraturan Daging Halal; dan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005. Tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam kursus ini termasuklah Sistem Pengauditan Halal, Persedian dan Pelaksanaan audit termasuk Format-Format Pengauditan Halal dalam Mereviu Dokumen, Aturcara Audit, Mesyuarat Pembukaan dan Mesyuarat Penutup, Senarai Semak Audit dan Laporan Audit. Latihan amali pengauditan juga dijalankan ke atas sebuah kilang pemprosesan makanan di Daerah Brunei-Muara bagi meningkatkan pemahaman dan keupayaan peserta-peserta kursus. Kursus ini akan meningkatkan lagi keupayaan juruaudit-juruaudit halal untuk menjalankan pengauditan halal secara profesional bermula dari perancangan audit, pengurusan dan pelaksanaan audit, laporan audit dan pemantauan, pengesahan dan pengesanan halal berpandukan Piawaian Brunei Darussalam bagi Makanan Halal PBD 24:2007, Akta dan Peraturan Daging Halal, dan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005. Kursus ini adalah sebahagian daripada program berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bagi mendokong Tatacara Pensijilan Halal di Negara Brunei Darussalam dan Projek Jenama Brunei Halal. Jenama Brunei Halal ialah projek inisiatif Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan sebagai usaha agresif pihak kerajaan ke arah membangunkan kepelbagaian ekonomi bukan minyak dan gas yang berdaya saing dan mapan. |
|||||